STANBUL 28 Julai - Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, sementara 154 yang lain cedera dalam dua kejadian letupan lewat malam tadi.

Kejadian itu berlaku sehari sebelum Mahkamah Agung Turki mengumumkan keputusan sama ada akan membubarkan atau tidak parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Letupan pertama berlaku di tempat pembuangan sampah di kawasan kejiranan Gungoren, manakala letupan kedua berlaku beberapa minit kemudian tidak jauh dari situ.

Menurut televisyen tempatan, letupan berkenaan berpunca daripada kebocoran gas.

Gabenor Istanbul, Muammer Guler, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia angkara Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

“Ini merupakan serangan pengganas dan dua letupan ini berpunca daripada bom yang diletakkan di dalam tong sampah.

“Jarak letupan pertama dan kedua ialah sekitar 10 hingga 12 minit dengan letupan kedua menyebabkan ramai yang terbunuh dan cedera,” katanya.

Menurut saksi, letupan kedua lebih kuat daripada yang pertama dan pihak berkuasa mengesyaki ia disasarkan untuk membunuh ramai mangsa.

“Letupan pertama menyebabkan orang ramai mengerumuni tempat itu dan kira-kira 10 minit kemudian berlaku letupan kedua yang lebih kuat.

“Bangunan tempat saya bekerja bergegar dan jumlah mereka yang cedera boleh dilihat sehingga 40 meter,” kata seorang seorang wartawan, Alaattin Hatayoglu kepada agensi berita Anatolia.

Mahkamah Agung Turki akan mengumumkan hari ini sama ada Parti AKP, yang pro-Islam dan mencapai kemenangan besar pada pilihan raya pada tahun lepas akan dibatalkan atau tidak.

Menurut pemerhati politik, jika mahkamah memutuskan untuk membatalkan parti tersebut ia boleh menimbulkan huru-hara serta memberi kesan dalam perbincangan negara sekular ini untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menuduh pemberontak Kurdish bertanggungjawab melancarkan serangan itu.- AFP

http://www.utusan.com.my

0 comments: